If you want to be updated on this weblog Enter your email here:



rss feed







Thursday, August 26, 2004
Untuk Mak dan Abah


EH! Magazine
Issue Dec 2003
Tamu Bulan Ini ~ Screwloose


Banyak yang telah kau beri

Dengan kasih tulus murni

Takkan kau sedari

Sangatlah bererti hidupmu

Genggamlah tanganku ini

Rasakan getar kasihku

Kau kan menyedari

Ada yang selalu

Memperhatikan dirimu

 

Lagu dendangan Sheila Majid bergema memenuhi ruang tamu di rumah saya. Sudah lama saya meminati Sheila sedari era Pengemis Muda hingga kini. Eh! Bukan Sheila jadi isu coretan saya.. tetapi bait-bait lagu itu yang sungguh puitis dan penuh makna. Seperti Sheila saya juga ingin menujukan lagu itu khas kepada ke-dua orang tua saya.. ya! Untuk emak dan abah..

 

Tanpa mereka siapalah saya. Saya sedar itu semua tetapi seperti ada satu penyakit di dalam diri yang membuat kerongkong rasa tersekat bila ingin menyatakan betapa saya memerlukan mereka untuk mengharungi kehidupan dan betapa bertuahnya saya mempunyai ibubapa seperti mereka. Ego saya menggunung walaupun pada mak abah sendiri… berdosanya saya.

 

Alangkah bagusnya jika saya seperti Sheila, boleh meluahkan rasa di hati melalui lagu. Alangkah moleknya jika saya seperti abang cik yang tidak malu memberitahu emak sambil menangis teresak-esak di satu malam “ orangkan mak.. apa yang orang buat semua untuk mak abah… biarlah orang mati dulu sebelum emak…” bunyinya emosional kan tetapi itulah abang saya. Anak buah saya, Aliff yang baru darjah satu pun sudah pandai menghargai neneknya “ kalau nenek mati apalah nak jadi pada abang..” katanya disatu hari. Itulah luahan hati mereka yang terpacul di mulut masing-masing dan ternyata saya bukan seperti mereka yang tidak silu melahirkan apa yang bersarang di hati.

 

Dulu, saya fikir biarlah  orang tua saya tahu rasa hati ini melalui perbuatan sahaja tetapi apabila semakin dimamah usia, saya amat takut sekiranya tidak berkesempatan untuk meluahkannya. Saya tidak mahu dibelengu kesal, tidak sama sekali.  Di sini saya ingin membuang ego saya sejauh mungkin.. biarlah satu Malaya tahu dan biarlah anda menjadi saksi atas kemusnahan ego yang dibina atas dasar yang saya sendiri tidak pasti.

 

Kepada mak dan abah… “Mak, abah , orang beruntung dapat orang tua macam mak abah. Orang memang patut kena marah bila orang pancitkan tayar kereta Baba jiran kita sebab dia campakkan basikal orang masa darjah 5 dulu. Orang tahu mak abah malu, sebab tu lah orang tak nakal lagi.

 

SPM gred 3 mak abah tak maki pun macam mak abah orang lain. Orang ulang SPM dan dapat bagus sebab sokongan mak dan abah. Orang dropped accountancy lepas 1 tahun belajar dan buat engineering mak abah tak halang pun. Lepas tu, orang berhenti kerja yang dapat gaji ‘sedap’ masa gawat sebab nak kerja dengan syarikat melayu… orang tak dengar cakap mak abah, orang degil… jadi sebagai balasan, orang kena tipu..syarikat tak bayar gaji 3 bulan. Padam muka orang. Orang hampir jatuh terduduk tapi nasib baik mak abah ada untuk berpaut dan mengajar orang bertatih kembali, berjalan dan berlari laju. Sebelum orang jatuh tersembam tanpa ada dahan berpaut, orang nak mak abah gembira dan berkongsi senang dengan apa yang orang kecapi kini.

 

Apabila ditakdirkan satu hari nanti kaki anakmu ini sudah kaku untuk bertatih, berjalan dan berlari… janganlah ditangisi takdir Illahi kerana sesungguhnya mak dan abah sudah menjalankan amanah Nya dengan sempurna. Orang minta ampun dan maaf kerana telah menambahkan cabaran hidup mak dan abah dalam membesar dan mendidik kami berlima sehingga kami menjadi seperti kami hari ini. Tekad, tabah dan redha itulah yang diterapkan dalam diri kami untuk terus berjuang hidup, disamping agama dijadikan paksi. Mak, abah.. betul kata abang cik biarlah kami mati dulu…”

 

Sungguh emosi saya! Coretan ini seolah coretan peribadi saya, ewaah.. gila kuasa !! Apa moral coretan saya ini, ya?

Anda renungkanlah.. sesungguhnya kita sudah dewasa untuk menganalisa sesuatu perkara… tapi satu pesan saya sekiranya hidup anda tidak pernah senang, tenteram dan aman walaupun berduit selori… luangkan waktu seketika dan tanyalah pada diri di mana anda letakkan ibubapa anda dalam hidup anda selama ini… di hati atau di kaki?

 

Hmm… ‘Jentayu’ bergema memenuhi ruang tamu dengan penuh cerita.. “ patah sayap bertongkat paruh…” ye.. saya akan menulis kisah si jentayu pula… kepada anda, tunggu ya!!

 

 


Posted at 01:30 pm by screwloose

SuMie
September 10, 2004   12:10 PM PDT
 
Uhuk uhuk terharunya..
Aku pun susah nak cakap directly kat mak abah aku yang aku sayang diorang. Bukan ego. Segan. Tapi aku rasa diorang tau kot.
Sama gak macam mak abah aku, tak ingat pulak aku kalau diorang ada cakap directly diorang sayang kat aku. Tapi aku tau diorang mesti la sayang kat aku.
Yang heran, kalau dengan hubby senang le pulak aku cakap I LOVE YOU... camno tuh..
screwloose
September 15, 2004   12:16 PM PDT
 
hehehe... ala-ala masing2 segan la gitu!! ish dgn hubby dah tido sebantal... mana nak datang segan tu...
isma elite
November 17, 2005   04:05 PM PST
 
i terpikat lak ngan srewloose, minat ngan coretannya..
moga suatu hari boleh kenal..
terukan usaha...
Name
November 18, 2005   08:15 AM PST
 
i terpikat lak ngan screwloose, minat ngan coretannya..
moga suatu hari boleh b'kenal'n..
teruskan usaha gila gila dlm kesedaran tu...
ismaelite
November 18, 2005   08:16 AM PST
 
i terpikat lak ngan screwloose, minat ngan coretannya..
moga suatu hari boleh b'kenal'n..
teruskan usaha gila gila dlm kesedaran tu...
 

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments




Previous Entry Home Next Entry