Issue : Utusan Malaysia; 18/8/04
Oleh ABD. AZIZ ITAR
Sheila Majid ketika sesi bertemu dengan peminatnya di Planet Hollywood, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
|
WALAUPUN sedang sarat mengandung lapan bulan, tetapi Sheila Majid masih bersemangat untuk bertemu dengan para peminat setianya.
Petang Ahad lalu, Sheila sempat meluangkan masa beberapa jam pada satu sesi bertemu peminatnya di Planet Hollywood, Kuala Lumpur.
Jelas Sheila, dia gembira kerana dapat bertemu dan beramah mesra dengan para peminat yang banyak menyokongnya selama ini.
``Ini mungkin kali terakhir saya dapat berjumpa dengan para peminat kerana selepas ini saya akan berehat di rumah.
``Doktor menjangkakan saya mungkin akan bersalin pada 7 Oktober ini. Selepas itu, saya akan berpantang selama dua bulan,'' kata Sheila.
Menurut Sheila, bagi mengubat rindu para peminatnya, dia merancang untuk mengadakan konsert selepas tempoh berpantang itu habis.
``Saya bercadang untuk mengadakan konsert di Genting International Convention Center (GICC) di Genting Highlands, Pahang pada bulan Januari tahun depan.
``Buat masa ini saya sedang mencari penaja untuk menjayakan konsert saya itu,'' ujarnya yang ditemani oleh anak sulungnya Khaleda, 13, pada petang itu.
Kata Sheila, buat masa ini dia sedang membuat persiapan untuk menyambut kelahiran anaknya yang ketiga.
``Saya sengaja tidak mahu tahu tentang jantina kandungan saya sebab saya mahukan kejutan.
``Saya tidak kisah sama ada bayi yang saya kandung lelaki atau perempuan. Saya terima dengan hati yang redha,'' kata Sheila.
Tambah Sheila lagi dia telah menyediakan dua nama yang dipilih khusus untuk bayi yang bakal dilahirkannya tidak lama lagi.
``Saya sudah dapatkan dua nama iaitu satu untuk nama anak perempuan dan satu lagi lelaki.
``Kalau ditakdirkan dapat anak lelaki saya sudah ada namanya dan begitu juga sebaliknya.
``Walau bagaimanapun saya tidak mahu memberitahu dua nama yang menjadi pilihan saya itu kerana saya tidak mahu takbur.
``Saya hanya akan beritahu nama yang menjadi pilihan saya selepas selamat bersalin nanti.
``Maklumlah, saya sekarang ini sedang sarat mengandung. Oleh itu, saya harus melalui pelbagai pantang.
``Orang mengandung ada macam-macam pantang larang yang diamalkan oleh orang tua zaman dulu,'' ujarnya lagi.
Selepas habis pantang, Sheila juga dijadualkan meneruskan promosi album terbarunya berjudul Cinta Kita.
Album itu adalah album ketiga Sheila Majid yang diterbit dan diedarkan menerusi syarikat rakaman Warner Music.
Menurut jurucakap Warner Music, Aida Hussin, sejak album itu dipasarkan hampir tiga bulan lalu, jualannya sudah menghampiri 10,000 unit.
Selain Cinta Kita, sebelum ini Sheila Majid pernah menghasilkan dua buah album berjudul Ratu dan Ku Mohon di bawah bumbung syarikat rakaman tersebut.